Skip to main content

PARTI POLITIK MALAYSIA: ANTARA PERJUANGAN RAKYAT, PERTEMBUNGAN KUASA DAN KELANGSUNGAN INSTITUSI

PARTI POLITIK MALAYSIA: ANTARA PERJUANGAN RAKYAT, PERTEMBUNGAN KUASA DAN KELANGSUNGAN INSTITUSI – Dari Dato’ Onn Jaafar ke Rafizi Ramli — Adakah Sejarah Politik Malaysia Sedang Berulang?

PENDAHULUAN: MENGAPA SEBUAH PARTI POLITIK DILAHIRKAN?

Dalam sejarah politik Malaysia, kita menyaksikan kelahiran pelbagai parti politik yang diasaskan oleh tokoh-tokoh besar. Ada yang muncul kerana berjuang menuntut kemerdekaan, ada yang lahir daripada kebangkitan rakyat menetang ketidakadilan, dan tidak kurang juga yang tampil akibat pertentangan terhadap kepimpinan atau perebutan pengaruh dalam parti asal. Namun begitu, lebih tujuh dekad negara mencapai kemerdekaan, satu persoalan masih berulang. Mengapakah sebahagian parti politik berjaya membina institusi yang bertahan merentasi generasi, sedangkan sebahagian yang lain gagal mengekalkan pengaruh walaupun diasaskan oleh pemimpin yang mempunyai nama besar, pengalaman luas dan pengikut yang ramai? Apakah pula sebenarnya yang menentukan kelangsungan sesebuah parti politik?

Adakah kerana kekuatan tokoh pengasasnya? Adakah ideologi yang diperjuangkan? Adakah kemampuan memperoleh sokongan rakyat? Atau adakah kejayaan sesebuah parti lebih banyak ditentukan oleh kedudukannya dalam gabungan politik? Perbincangan ini membawa saya kepada kemunculan Parti BERSAMA yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli. Dalam perbincangan saya bersama Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Redzuan Othman, seorang sarjana sejarah yang telah lama mengikuti perkembangan politik negara, beliau mengemukakan pandangan bahawa perjalanan Rafizi bersama BERSAMA mungkin mengulangi pengalaman beberapa tokoh besar terdahulu yang meninggalkan parti asal untuk membentuk wadah politik baharu, tetapi akhirnya tidak berjaya membina sebuah institusi yang berkekalan.

Saya tertarik dengan pemerhatian itu, lalu cuba menilainya melalui pengalaman parti-parti yang pernah muncul sebelum ini. Adakah BERSAMA muncul kerana masyarakat benar-benar memerlukan sebuah parti politik baharu, atau kerana pertentangan kepimpinan dalam PKR yang akhirnya melahirkan organisasi berasingan? Persoalan yang sama sebenarnya boleh diajukan kepada pelbagai parti lain yang pernah muncul dalam sejarah negara. Bagi memahami fenomena ini, kita perlu kembali kepada permulaan politik kepartian moden Malaysia.

DATO’ ONN JAAFAR: APABILA PENGASAS MENINGGALKAN INSTITUSI YANG DIBINANYA

Dato’ Onn Jaafar merupakan antara tokoh terpenting dalam sejarah politik Melayu moden. Beliau memainkan peranan utama dalam menyatukan masyarakat Melayu menentang Malayan Union dan seterusnya mengasaskan UMNO pada tahun 1946. Namun apabila beliau mencadangkan supaya keahlian UMNO dibuka kepada masyarakat bukan Melayu, cadangan tersebut mendapat tentangan dalam parti. Dato’ Onn akhirnya meninggalkan UMNO pada tahun 1951. Beliau kemudian menubuhkan Independence of Malaya Party (IMP), sebelum membentuk Parti Negara pada tahun 1954. Walaupun beliau merupakan pengasas UMNO dan mempunyai pengaruh sejarah yang besar, usaha membina parti pengganti tidak berjaya mengatasi kekuatan organisasi yang telah ditinggalkannya. Parti Negara tidak berkembang menjadi institusi politik utama negara, walaupun Dato’ Onn sendiri berjaya memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan pada tahun 1959.

Di sinilah kita dapat melihat masalah sebenar yang sering terlepas pandang. Seseorang pemimpin boleh menjadi pengasas kepada sebuah institusi, tetapi setelah institusi tersebut mempunyai identiti, jaringan organisasi dan kesetiaan pengundi sendiri, pengaruh itu tidak semestinya dapat dipindahkan kepada organisasi baharu. Dalam konteks ini, kekuatan institusi boleh menjadi lebih besar daripada pengaruh pengasasnya.

ASRI MUDA DAN HAMIM: KESETIAAN KEPADA GERAKAN ATAU KEPADA PEMIMPIN?

Pengalaman Datuk Mohd Asri Muda memperlihatkan fenomena yang hampir serupa dalam politik Islam. Asri pernah memimpin PAS sebagai Presiden dan menjadi Menteri Besar Kelantan. Selepas meninggalkan PAS, beliau menubuhkan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) pada tahun 1983. HAMIM memperoleh ruang politik melalui penyertaannya dalam Barisan Nasional dan sempat mempunyai perwakilan pilihan raya. Namun parti tersebut tidak berkembang menjadi pengganti PAS. PAS telah membina jaringan organisasi, institusi pendidikan, kepimpinan agama dan hubungan masyarakat yang berakar selama beberapa dekad. Kisah HAMIM mengingatkan kita bahawa pengaruh seseorang pemimpin agama atau tokoh politik tidak semestinya boleh menggantikan kesetiaan kepada sebuah gerakan yang mempunyai sejarah dan identiti perjuangan tersendiri.
Di sinilah kita perlu membezakan antara kesetiaan kepada individu dengan kesetiaan kepada institusi.

TENGKU RAZALEIGH DAN SEMANGAT 46: KEJAYAAN AWAL YANG TIDAK MENJAMIN KELANGSUNGAN

Pengalaman Tengku Razaleigh Hamzah melalui Parti Melayu Semangat 46 memberikan dimensi yang berbeza. Semangat 46 muncul selepas krisis kepimpinan UMNO pada tahun 1987 dan ditubuhkan pada tahun 1989. Berbeza daripada beberapa parti pecahan lain, Semangat 46 berjaya memperoleh pengaruh pilihan raya yang nyata. Melalui kerjasama dengan PAS dan parti-parti pembangkang lain, Semangat 46 memainkan peranan penting dalam perubahan kerajaan Kelantan pada tahun 1990. Namun kejayaan tersebut tidak berkembang menjadi sebuah alternatif nasional yang berkekalan. Pada tahun 1996, Semangat 46 dibubarkan dan Tengku Razaleigh kembali menyertai UMNO.

Perjalanan tersebut menunjukkan bahawa kejayaan pilihan raya awal bukanlah satu-satunya ukuran kelangsungan politik. Sebuah parti mungkin berjaya memanfaatkan keadaan politik tertentu atau kerjasama dengan parti lain, tetapi masih perlu membuktikan bahawa ia mempunyai identiti dan kekuatan organisasi yang mampu bertahan apabila keadaan berubah.

PKR: DARIPADA REFORMASI KEPADA PUTRAJAYA

Dalam menelusuri sejarah parti-parti baharu, pengalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh diketepikan. PKR mempunyai sejarah yang berbeza kerana ia lahir daripada gelombang Reformasi yang tercetus selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada September 1998. Pemecatan dan pemenjaraan Anwar mencetuskan kebangkitan masyarakat yang membawa tuntutan lebih luas mengenai keadilan, kebebasan institusi kehakiman, pembanterasan rasuah dan pembaharuan sistem pentadbiran negara. Walaupun Anwar merupakan tokoh utama yang mencetuskan gelombang tersebut, gerakan Reformasi berkembang melampaui persoalan nasib seorang individu. Ia mempertemukan aktivis masyarakat, gerakan mahasiswa, pertubuhan bukan kerajaan, kelompok Islam, golongan profesional serta rakyat daripada pelbagai latar belakang.

Ketika Anwar masih berada dalam penjara, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memainkan peranan penting dalam memimpin gerakan tersebut ke medan politik pilihan raya. Parti Keadilan Nasional atau KeADILan dilancarkan pada 4 April 1999. Namun perjalanan awalnya bukanlah mudah. Dalam Pilihan Raya Umum 1999, KeADILan hanya memenangi lima kerusi Parlimen. Pada tahun 2003, KeADILan bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM), sebuah parti yang mempunyai tradisi perjuangan keadilan sosial yang panjang. Penggabungan itu membawa kepada pembentukan Parti Keadilan Rakyat. Tokoh seperti Dr. Syed Husin Ali memainkan peranan penting dalam memperluas dimensi pemikiran dan perjuangan sosial parti tersebut.

Dalam PRU 2004, PKR hanya memenangi satu kerusi Parlimen, iaitu Permatang Pauh yang dipertahankan oleh Dr. Wan Azizah. Namun parti tersebut tidak berakhir dengan kekalahan itu. Pada PRU 2008, PKR memenangi 31 kerusi Parlimen dan menjadi sebahagian daripada gelombang perubahan politik yang menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional. Perkembangan seterusnya membawa PKR menjadi komponen penting Pakatan Rakyat, kemudian Pakatan Harapan, sehingga Anwar akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022. Di sinilah perjalanan PKR mempunyai makna tersendiri. Sebuah parti yang lahir daripada krisis politik boleh berkembang menjadi gerakan yang mempunyai makna lebih luas kepada masyarakat.

Namun pengalaman PKR juga menunjukkan bahawa gerakan yang lahir daripada idealisme pembaharuan tidak terlepas daripada pertentangan kepimpinan apabila ia berkembang menjadi sebuah institusi politik yang besar. Perpecahan melibatkan Azmin Ali pada tahun 2020 dan persaingan kepimpinan yang kemudian melibatkan Rafizi Ramli memperlihatkan cabaran tersebut. Saya melihat persoalan yang lebih besar di sini: bagaimana sebuah gerakan yang lahir daripada perjuangan menentang penyalahgunaan kuasa dapat membina budaya organisasi yang mengurus persaingan kepimpinan secara terbuka dan berinstitusi.

BERSATU: DARIPADA MENENTANG UMNO KEPADA PERPECAHAN DALAMAN

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ditubuhkan pada tahun 2016 dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi. Walaupun Muhyiddin memainkan peranan kepimpinan utama, penglibatan Tun Mahathir memberikan pengaruh nasional yang penting kepada parti tersebut. BERSATU muncul dalam suasana pertentangan terhadap kepimpinan UMNO dan kemudian menyertai Pakatan Harapan. Dalam PRU 2018, parti tersebut memperoleh kedudukan penting melalui kerjasama gabungan yang akhirnya membentuk kerajaan Persekutuan. Namun perkembangan selepas itu memperlihatkan beberapa fasa konflik kepimpinan.

Perbezaan antara Muhyiddin dengan Tun Mahathir, perubahan gabungan politik selepas Langkah Sheraton serta konflik yang kemudian melibatkan Datuk Seri Hamzah Zainudin menunjukkan bahawa parti yang lahir daripada perpecahan politik juga boleh menghadapi perpecahan dalam organisasinya sendiri. Perjalanan BERSATU mengingatkan kita bahawa kejayaan memperoleh kuasa kerajaan tidak semestinya menyelesaikan persoalan penyatuan kepimpinan dan penginstitusian parti.

PEJUANG: PENGARUH TUN MAHATHIR DAN REALITI PILIHAN RAYA

Selepas perpecahan dalam BERSATU, Tun Dr. Mahathir Mohamad menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air. Penubuhan PEJUANG sekali lagi membawa persoalan mengenai hubungan antara pengaruh seorang tokoh besar dengan kemampuan membina sokongan kepada sebuah organisasi baharu. Tun Mahathir merupakan bekas Perdana Menteri yang mempunyai pengalaman politik luar biasa dan pengenalan nama yang luas. Namun dalam PRU15 pada tahun 2022, PEJUANG gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen. Tun Mahathir sendiri kehilangan deposit di Langkawi. Daripada keputusan itu, jelas bahawa pengenalan nama dan rekod kepimpinan seseorang tokoh tidak semestinya menghasilkan sokongan pilihan raya kepada parti yang diterajuinya. Namun keputusan itu perlu dibaca dalam konteks persaingan gabungan, sistem pilihan raya dan perubahan keutamaan pengundi pada waktu berkenaan.

PARTI WAWASAN NEGARA: PERPECAHAN BERSATU DAN PERSOALAN KERJASAMA MELAYU-ISLAM

Perkembangan terbaharu melibatkan Parti Wawasan Negara menambahkan satu lagi episod kepada sejarah perpecahan politik Malaysia. Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang pernah menjadi Timbalan Presiden BERSATU, menerajui Wawasan selepas konflik kepimpinan dengan Muhyiddin. Wawasan dibentuk melalui penjenamaan semula Parti Cinta Malaysia dan kemudian diterima sebagai komponen Perikatan Nasional. Kepimpinan Hamzah turut menyatakan hasrat menjadikan Wawasan sebagai jambatan antara PAS dengan UMNO. Namun usaha mendekatkan PAS dan UMNO membuka persoalan mengenai kedudukan parti-parti lain dalam gabungan tersebut. Apakah kerjasama PAS–UMNO akan turut memberikan ruang kepada Wawasan?

Bagaimanakah pembahagian kerusi akan dirundingkan? Dan sejauh manakah kepentingan organisasi yang berbeza dapat diselaraskan dalam suatu gabungan yang lebih luas? Penganalisis politik telah mengenal pasti bahawa pembahagian kerusi dan persoalan penguasaan antara PAS dengan UMNO merupakan antara cabaran utama dalam usaha kerjasama tersebut. Perkembangan Wawasan mengingatkan kita bahawa sebuah parti baharu bukan sahaja perlu membina sokongan sendiri, tetapi juga perlu menentukan kedudukannya dalam hubungan politik yang sentiasa berubah.

AMANAH: ISLAM PROGRESIF DAN CABARAN MEMBINA IDENTITI TERSENDIRI

Parti Amanah Negara (AMANAH) pula lahir daripada pertentangan pendekatan politik Islam dalam PAS. Ditubuhkan pada September 2015, AMANAH membawa pendekatan Islam progresif dan reformis yang menekankan keterangkuman, demokrasi dan pentadbiran yang baik. Penubuhannya memperlihatkan bahawa perpecahan parti tidak semestinya berpunca daripada perebutan jawatan semata-mata. Ia juga boleh berlaku akibat perbezaan pendekatan ideologi dan strategi politik. AMANAH kemudian menjadi komponen penting Pakatan Harapan dan memperoleh perwakilan Parlimen serta kedudukan dalam pentadbiran kerajaan. Namun persoalan mengenai kemampuan parti tersebut membina identiti tersendiri dalam kalangan pengundi Melayu-Islam masih relevan untuk diteliti. AMANAH mempunyai asas perjuangan dan pendekatan dasar yang berbeza daripada PAS. Tetapi kemampuan mengemukakan suatu falsafah politik tidak semestinya sama dengan kemampuan membina jaringan akar umbi yang meluas.

Kekuatan pilihan raya AMANAH juga perlu dilihat dalam konteks kerjasamanya dengan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan. Oleh itu, persoalan yang wajar diteliti ialah sejauh mana AMANAH telah berjaya memperluas penerimaan pendekatan Islam progresifnya, khususnya dalam kawasan yang mempunyai tradisi sokongan kuat kepada PAS. Dalam hal ini, AMANAH mengingatkan kita bahawa sebuah parti yang lahir daripada perbezaan ideologi tetap perlu membina organisasi, kepimpinan tempatan dan hubungan masyarakat yang kukuh.

MCA DAN MIC: APABILA PARTI YANG LAMA BERTAHAN MENGHADAPI PERUBAHAN PENGUNDI

Sejarah politik Malaysia tidak lengkap tanpa meneliti Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysian Indian Congress (MIC). Berbeza daripada parti-parti pecahan yang telah dibincangkan, kedua-dua parti ini mempunyai sejarah panjang yang berkait rapat dengan pembentukan kerangka politik Perikatan sebelum kemerdekaan. MIC ditubuhkan pada tahun 1946, manakala MCA diasaskan pada tahun 1949. Kedua-duanya kemudian menjadi sebahagian daripada kerjasama politik yang membentuk Parti Perikatan bersama UMNO. Model politik tersebut dibina atas pendekatan perundingan dan perkongsian kuasa antara parti yang mewakili kelompok masyarakat berbeza. Dalam tempoh yang panjang, MCA dan MIC memainkan peranan penting dalam sistem pentadbiran negara. Namun perubahan masyarakat, urbanisasi, perkembangan pendidikan, peningkatan kesedaran politik serta kemunculan parti pelbagai kaum telah mengubah corak persaingan pilihan raya.

MCA menghadapi persaingan yang semakin ketara daripada DAP, khususnya dalam kalangan pengundi Cina di kawasan bandar. MIC pula berhadapan dengan perubahan saluran perwakilan masyarakat India, termasuk kemunculan gerakan masyarakat dan parti lain yang turut membawa isu pendidikan, ekonomi serta mobiliti sosial. Keputusan pilihan raya sejak 2008 memperlihatkan perubahan besar dalam kedudukan kedua-dua parti tersebut. Namun pengalaman MCA dan MIC perlu dibezakan daripada parti-parti pecahan. Kedua-duanya telah membina institusi yang bertahan selama beberapa generasi, tetapi berhadapan dengan persoalan bagaimana mengekalkan relevansi apabila corak kesetiaan pengundi berubah.

Di sinilah muncul satu lagi pengajaran sejarah. Sesebuah parti boleh bertahan sebagai organisasi, tetapi kelangsungan organisasinya tidak semestinya menjamin kedudukan pilihan raya yang sama seperti pada masa lalu. Parti yang lama bertapak perlu sentiasa memperbaharui pendekatan untuk memahami perubahan aspirasi masyarakat yang diwakilinya.

BERSAMA: PARTI BAHARU ATAU KESINAMBUNGAN PERTEMBUNGAN KEPIMPINAN PKR?

Setelah meneliti perjalanan pelbagai parti politik tersebut, perhatian kini kembali kepada Parti BERSAMA yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli. Rafizi bukanlah tokoh yang asing dalam politik negara. Beliau mempunyai sejarah dalam gerakan Reformasi, pernah menjadi Timbalan Presiden PKR dan memegang jawatan Menteri Ekonomi. Namun kemunculan BERSAMA berlaku selepas persaingan kepimpinan dalam PKR yang melibatkan kelompok penyokong Rafizi dan kepimpinan lain dalam parti tersebut. Keadaan ini membuka ruang kepada satu persoalan yang mendasar. Adakah BERSAMA muncul kerana wujudnya tuntutan masyarakat terhadap suatu falsafah politik yang baharu, atau kerana pertentangan kepimpinan dalam PKR yang akhirnya melahirkan organisasi berasingan?

Persoalan ini perlu dijawab melalui bukti mengenai sejarah penubuhan, agenda dasar, pembinaan organisasi dan penerimaan masyarakat. Kewujudan pertentangan kepimpinan dalam parti asal tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa parti baharu tidak mempunyai perjuangan yang sah. Namun parti yang lahir dalam suasana sedemikian perlu memperlihatkan bagaimana agenda perjuangannya dapat berkembang melampaui sejarah konflik tersebut. Dalam konteks BERSAMA, persoalan ini menjadi lebih penting kerana parti tersebut menawarkan agenda pembaharuan yang mempunyai persamaan dengan sebahagian nilai Reformasi yang telah lama diperjuangkan PKR. Apakah yang membezakan pendekatan BERSAMA daripada PKR?

Adakah perbezaannya terletak pada dasar ekonomi, tadbir urus, pembaharuan institusi, sistem demokrasi dalaman atau pendekatan kepimpinan? Jawapan kepada persoalan tersebut penting untuk memahami identiti politik yang hendak dibina oleh BERSAMA.

SLOGAN BERSAMA DAN CABARAN MEMBINA FALSAFAH PERJUANGAN

BERSAMA menggunakan ungkapan “Barisan Rakyat, Suara Malaysia” dan mengetengahkan simbol Kancil sebagai sebahagian daripada identiti politiknya. Parti tersebut turut mengemukakan Agenda Kancil yang merangkumi pelbagai cadangan pembaharuan ekonomi, sosial dan institusi. Maka BERSAMA bukanlah sebuah organisasi yang langsung tidak mempunyai dasar atau gagasan. Namun kewujudan slogan dan agenda dasar belum semestinya bermakna sebuah parti telah berjaya membina identiti yang diyakini masyarakat. Apakah yang menjadikan perjuangan BERSAMA berbeza daripada parti-parti yang telah lama memperjuangkan reformasi, keadilan sosial, ketelusan dan pembaharuan pentadbiran?

Adakah rakyat melihat BERSAMA sebagai sebuah wadah politik yang menawarkan penyelesaian baharu, atau lebih mengenalinya melalui kritikan kepimpinannya terhadap tokoh dan parti lain? Kritikan terhadap PMX, UMNO, PAS atau mana-mana organisasi politik merupakan sebahagian daripada persaingan demokrasi. Namun kritikan perlu disertai cadangan dasar yang boleh dinilai dari segi keberkesanan, kemampuan pelaksanaan dan kesannya kepada rakyat. Sebuah parti politik bukan sahaja perlu menjelaskan perkara yang ditentangnya. Ia juga perlu memperlihatkan jenis masyarakat dan negara yang hendak dibinanya.

BELANJAWAN BAYANGAN KANCIL 2027: REFORMASI FISKAL ATAU PERTEMBUNGAN PENDEKATAN EKONOMI?

Pembentangan Belanjawan Bayangan Kancil 2027 memberikan peluang untuk menilai falsafah ekonomi BERSAMA dengan lebih konkrit. Antara cadangan utamanya ialah menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar lima peratus. BERSAMA turut mencadangkan pemansuhan BUDI95 serta penggantian STR dan SARA dalam bentuk semasa dengan sistem elaun sosial yang baharu. Menurut unjuran parti tersebut, pendekatan ini boleh meningkatkan hasil kerajaan, memperbaiki kedudukan fiskal dan menyediakan manfaat bersih kepada isi rumah berpendapatan rendah. Cadangan ini memperlihatkan suatu perbezaan pendekatan dengan kerajaan MADANI yang mengambil pendirian lebih berhati-hati terhadap pengenalan semula GST secara menyeluruh.

Namun perbahasan sebenar tidak sepatutnya terhenti pada persoalan sama ada GST lebih baik daripada SST. Kita perlu meneliti reka bentuk cukai, pengecualian barangan asas, kesan terhadap harga, kos pematuhan perniagaan dan kemampuan sistem bantuan menggantikan subsidi sedia ada. Bagi golongan B40, persoalan penting ialah sama ada bantuan gantian benar-benar mampu mengimbangi tambahan beban cukai dan perubahan subsidi. Bagi golongan M40 pula, kita perlu menilai sama ada isi rumah yang tidak menerima bantuan sepenuhnya akan menghadapi perubahan ketara dalam kos sara hidup. Dalam sistem GST, tidak semua barangan semestinya dikenakan cukai pada kadar standard. Barangan tertentu boleh diberikan layanan kadar sifar atau pengecualian.

Namun persoalan pengagihan beban cukai tetap penting kerana isi rumah berpendapatan rendah lazimnya menggunakan bahagian yang lebih besar daripada pendapatan mereka untuk perbelanjaan harian. Cadangan GST BERSAMA juga mempunyai persamaan dengan pendirian UMNO yang menggesa pengenalan semula cukai tersebut. Persamaan itu tidak semestinya membuktikan wujudnya penyelarasan politik, tetapi menunjukkan bahawa parti-parti yang berbeza kedudukan dalam sistem politik boleh berkongsi pendekatan dasar tertentu. Perdebatan ini perlu memberi tumpuan kepada bukti. Jika BERSAMA menganggap pendekatannya lebih sesuai untuk pembaharuan fiskal, ia perlu memperlihatkan bagaimana manfaat yang diunjurkan dapat dicapai dalam keadaan sebenar. Begitu juga kerajaan MADANI perlu terus menjelaskan bagaimana sistem percukaian dan bantuan semasa dapat memenuhi keperluan hasil negara tanpa membebankan masyarakat. Ukuran utama sesuatu dasar ekonomi bukanlah sejauh mana ia kelihatan berani atau popular, tetapi bagaimana kesannya terhadap kehidupan rakyat dan kedudukan kewangan negara.

JOHOR: PENGENALAN NAMA TIDAK SEMESTINYA MENJADI UNDI

Keputusan Pilihan Raya Negeri Johor pada 11 Julai 2026 menyediakan satu ukuran awal terhadap penerimaan pengundi kepada BERSAMA. Kesemua 15 calon parti tersebut kehilangan deposit setelah gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan daripada undi sah di kawasan masing-masing. Keputusan ini menunjukkan bahawa pengenalan nama tokoh nasional tidak semestinya dapat diterjemahkan kepada sokongan pilihan raya bagi sebuah parti baharu. Rafizi mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan, kemampuan komunikasi dasar dan pengikut media sosial yang luas. Namun pengaruh tersebut perlu dibezakan daripada kemampuan sesebuah parti membina kesetiaan pengundi, jentera pilihan raya dan hubungan akar umbi. Pengikut media sosial tidak semestinya menjadi ahli parti.

Ahli parti tidak semestinya menjadi jentera yang berkesan. Dan seseorang pengundi yang bersetuju dengan pandangan tertentu tidak semestinya akan memberikan undi kepada parti yang mengemukakannya. Pengalaman Johor juga perlu dilihat dalam konteks pertandingan pelbagai penjuru, kekuatan parti-parti sedia ada dan tahap pengenalan pengundi terhadap organisasi baharu. Ia merupakan satu petunjuk awal, tetapi belum memadai untuk menentukan keseluruhan perjalanan BERSAMA.

MELAKA: UJIAN SUSULAN TERHADAP PEMBINAAN ORGANISASI BERSAMA

BERSAMA kini memberikan tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri Melaka selepas pengalaman Johor. Pengumuman calon lebih awal dan usaha memperkenalkan pendekatan hubungan langsung dengan pengundi merupakan antara langkah yang dikemukakan parti tersebut. Melaka menjadi medan penting untuk menilai sama ada BERSAMA telah memperkukuh organisasi dan meningkatkan penerimaan masyarakat selepas pilihan raya pertamanya. Antara petunjuk yang wajar diteliti ialah perubahan bahagian undi, bilangan calon yang mengekalkan deposit, kekuatan jentera tempatan serta kemampuan parti membina sokongan di luar kelompok pengikut kepimpinan nasional. Sejarah parti pecahan memberikan kerangka untuk memahami cabaran tersebut.

Namun keputusan pilihan raya yang belum berlangsung tidak boleh dianggap telah ditentukan oleh pengalaman sebelumnya. Apa yang boleh dilakukan ialah membandingkan keputusan sebenar apabila tersedia dan menilai sama ada terdapat perubahan yang bermakna dalam sokongan pengundi.

PANDANGAN PROFESOR EMERITUS DATO’ DR. MOHAMAD REDZUAN OTHMAN: MEMBACA MASA KINI MELALUI SEJARAH

Dalam perbincangan saya bersama Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Redzuan Othman, beliau mengemukakan pandangan bahawa perjalanan Rafizi bersama BERSAMA mungkin mengulangi pengalaman beberapa parti pecahan terdahulu yang diasaskan oleh tokoh berpengaruh tetapi tidak berjaya membina institusi politik yang berkekalan. Saya melihat pemerhatian tersebut sebagai satu hipotesis sejarah yang menarik untuk diuji. Pengalaman Dato’ Onn Jaafar, Asri Muda, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr. Mahathir menunjukkan bahawa pengaruh peribadi tidak semestinya mencukupi untuk menjamin kelangsungan parti baharu. Namun pengalaman PKR memperlihatkan keadaan yang berbeza, apabila sebuah parti yang pernah mengalami kemerosotan besar dalam pilihan raya akhirnya berjaya membina semula kedudukannya.

BERSATU pula menunjukkan bahawa sebuah parti baharu boleh memperoleh kedudukan penting melalui kerjasama gabungan, tetapi masih menghadapi konflik kepimpinan dalaman. AMANAH memperlihatkan cabaran membina identiti ideologi tersendiri, manakala MCA dan MIC menunjukkan bagaimana parti yang telah lama bertapak perlu menghadapi perubahan kesetiaan pengundi.

Kesemua pengalaman tersebut menunjukkan bahawa sejarah tidak menghasilkan satu bentuk perjalanan yang seragam. Namun terdapat beberapa faktor yang boleh digunakan untuk memahami kelangsungan sesebuah parti, iaitu kekuatan falsafah perjuangan, jaringan organisasi, kepimpinan pelapis, kepercayaan masyarakat, sumber politik dan kemampuan menyesuaikan diri dengan perubahan. Dalam konteks ini, pandangan Prof Redzuan membantu kita memahami bahawa masa depan sesebuah parti tidak boleh dinilai hanya berdasarkan populariti pengasasnya. Ia perlu dilihat sebagai persoalan pembentukan institusi politik yang lebih luas.

KESIMPULAN: PARTI UNTUK RAKYAT ATAU WADAH UNTUK PEMIMPIN?

Jika sejarah ini dibaca secara menyeluruh, jelas bahawa parti-parti politik kita lahir daripada keadaan yang berbeza. Ada yang muncul daripada perjuangan kemerdekaan. Ada yang lahir daripada kebangkitan masyarakat terhadap ketidakadilan. Ada yang terbentuk akibat perbezaan ideologi. Dan ada juga yang muncul selepas pertentangan kepimpinan dalam parti asal. Namun sebab kelahiran sesebuah parti tidak dengan sendirinya menentukan perjalanan masa depannya. Apa yang lebih penting ialah bagaimana parti tersebut membina perjuangan yang dapat diterima masyarakat, membangunkan organisasi yang berfungsi dan mengekalkan kepercayaan pengundi. Pengalaman PKR mengingatkan kita bahawa sebuah parti boleh bangkit selepas kekalahan besar. Pengalaman Semangat 46 pula menunjukkan bahawa kejayaan awal tidak semestinya menjamin kelangsungan.

BERSATU dan Wawasan memperlihatkan persoalan pengurusan kepimpinan serta hubungan dengan rakan gabungan. AMANAH menunjukkan cabaran membina identiti ideologi, manakala MCA dan MIC memperlihatkan keperluan menyesuaikan perjuangan dengan perubahan masyarakat. Bagi BERSAMA, persoalan utamanya ialah sama ada agenda yang dibawanya dapat berkembang menjadi sebuah perjuangan yang mempunyai asas sokongan dan identiti tersendiri. Adakah ia mampu memperlihatkan suatu pendekatan politik yang berbeza daripada PKR dan parti-parti sedia ada?

Adakah dasar yang dicadangkannya benar-benar dapat menjawab persoalan ekonomi dan sosial yang dihadapi rakyat? Dan adakah parti tersebut mampu membina institusi yang terus berfungsi melampaui pengaruh Rafizi Ramli sebagai tokoh pengasas? Inilah persoalan yang menjadikan pemerhatian sejarah Prof Redzuan begitu relevan. Akhirnya, rakyat bukan sahaja menilai siapa yang paling lantang mengkritik kerajaan atau parti lawan. Mereka juga menilai siapa yang memahami kehidupan mereka, mempunyai penyelesaian yang meyakinkan dan mampu melaksanakan tanggungjawab politik dengan berkesan. Sebuah parti boleh dilahirkan daripada pertentangan kepimpinan, tetapi untuk bertahan sebagai institusi politik, ia perlu membuktikan bahawa perjuangannya mempunyai makna yang lebih besar daripada konflik yang melahirkannya.

Hussin Ali

Pengarah Perancangan & Perundingan
hussinali@iderc.my