Skip to main content

Wacana Kenegaraan Perkukuh Kefahaman Institusi Raja Berperlembagaan

PUTRAJAYA, 8 Oktober 2026 – Kefahaman mengenai kedudukan dan peranan institusi diraja menjadi tumpuan Wacana Kenegaraan: Konsep dan Pelaksanaan Raja Berperlembagaan yang dikendalikan oleh Pengerusi Eksekutif Yayasan IDE MADANI, YB Senator Dato’ Profesor Emeritus Dr. Mohammad Redzuan Othman, di Hotel The Everly, Putrajaya.

YB Senator Dato’ Profesor Emeritus Dr. Mohammad Redzuan Othman, yang juga Pengerusi Felow Kenegaraan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), mengendalikan sesi yang menampilkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, YBhg. Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad, sebagai tetamu kehormat.

Anjuran Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (BDPS), AKM, wacana tersebut memberi tumpuan kepada konsep, peranan dan bidang kuasa institusi Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu dalam kerangka Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Program itu turut dihadiri YBhg. Datuk Rospiagos bin Taha, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Jabatan Perdana Menteri, dan YBhg. Dato’ Dr. Roslan bin Hussin, Ketua Pengarah AKM, bersama pegawai-pegawai kanan.

Turut dihimpunkan ialah barisan Felow Kenegaraan AKM yang terdiri daripada pemikir dan pakar rujuk pelbagai disiplin, selain Pegawai Kenegaraan Kementerian dan Jabatan. Penglibatan mereka membuka ruang pertukaran pandangan serta penggemblengan kepakaran bagi memperkukuh pemahaman tentang sistem pemerintahan negara.

Wacana ini mengetengahkan kepentingan penghayatan prinsip “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” serta “Keluhuran Perlembagaan” sebagai landasan kehidupan bernegara. Kefahaman terhadap institusi diraja dan Perlembagaan Persekutuan menjadi asas untuk menilai peranan, tanggungjawab serta batas bidang kuasa dalam sistem Raja Berperlembagaan secara tepat.

Penglibatan YB Senator Dato’ Profesor Emeritus Dr. Mohammad Redzuan Othman dalam mengendalikan wacana tersebut memperlihatkan sumbangan kepimpinan Yayasan IDE MADANI dalam mengembangkan perbincangan ilmu dan kenegaraan bersama institusi awam serta barisan pakar.

Penganjuran ini menegaskan bahawa penghayatan terhadap asas pemerintahan negara perlu terus diperkukuh melalui pendidikan dan dialog yang bermakna, demi memelihara kestabilan, keharmonian serta kedaulatan Malaysia. Turut hadir bersama adlah beberapa barisan felow Yayasan IDE Madani ke wacana tersebut.

Yayasan IDE MADANI
Penyelidikan • Analisis • Perspektif 

Editorial IDE

mediacenter@iderc.my