Pink October 2026: Bersama Menyokong Kesedaran Kanser Payudara

CYBERJAYA, 2 Oktober 2026 – YBrs. Encik Khairul Arifin Mohd Munir, Pengarah Penyelidikan Digital & Kecerdasan Buatan merangkap Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Cyberjaya, hadir memeriahkan program Pink October 2026 anjuran Jabatan Pembedahan Am, Hospital Cyberjaya, bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara.
Bertemakan “Early Detection Saves Lives”, program ini dirasmikan oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang.
Kehadiran YBrs. Encik Khairul Arifin mencerminkan sokongan Lembaga Pelawat Hospital Cyberjaya terhadap usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeriksaan dan pengesanan awal kanser payudara, di samping memperkukuh hubungan antara hospital dengan komuniti.
Pelbagai aktiviti diadakan, termasuk Fun Run 3KM, senaman aerobik, ceramah kesedaran, saringan kesihatan percuma, reruai pameran serta pertandingan mewarna. Sesi ceramah yang melibatkan Jabatan Pembedahan Am, Jabatan Radiologi, Jabatan Psikiatri dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) turut mengetengahkan aspek kesejahteraan psikologi dan emosi pesakit kanser.
Tahniah kepada Hospital Cyberjaya, urus setia, petugas kesihatan, rakan strategik dan semua pihak yang menjayakan program ini. Semoga inisiatif ini terus menggalakkan masyarakat mengambil langkah proaktif menjaga kesihatan serta memberikan sokongan kepada wanita yang berdepan kanser payudara.
Sumber Gambar dan Ringkasan Berita: Hospital Putrajaya